1 Julai 2015

Kad Diskaun 1 Malaysia

Assalamualaikum,

Kuala Lumpur: Suasana ekonomi yang sentiasa berubah mengakibatkan golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah terhimpit dengan desakan pasaran.
Menyedari kesulitan yang dialami rakyat negara ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan enam Kad Diskaun 1Malaysia (1MDC) menerusi kerjasama pintar dengan rakan dagang bagi memberi potongan harga barangan dan perkhidmatan kepada orang ramai.
Melalui inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, enam kad mengikut kesesuaian pengguna diperkenalkan iaitu Kad Skuad Pengguna, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M), Kad Privilege 1Malaysia (1MPC), Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Kad Pesara Kerajaan Malaysia dan Kad Bekas Tentera (KBT).
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata, program itu bermatlamat membantu golongan yang memerlukan seperti pelajar, OKU dan pesara memanfaatkan kuasa pembelian optimum.
“Kad Skuad Pengguna adalah kad kesetiaan, kad diskaun dan pengenalan diri Skuad Pengguna. Pemegang hanya perlu tunjukkan kad untuk mendapatkan keistimewaan ketika berbelanja selain sukarelawan dalam menyalurkan maklumat salah laku perniagaan seperti kenaikan harga barang.
“KADS1M diwujudkan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan siswa di Universiti Awam (UA) dan swasta seluruh negara.
“Sementara itu, 1MPC pula menyediakan diskaun dan potongan harga kepada seramai 242,000 polis serta tentera yang sedang berkhidmat,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, projek itu juga tidak meminggirkan golongan OKU, pesara kerajaan dan bekas tentera yang sudah menabur bakti kepada negara.
“Dengan Kad OKU, pemegangnya akan mendapat banyak manfaat termasuk pengecualian bayaran di hospital, cukai jalan dan kemudahan daripada Telekom Malaysia, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) serta banyak lagi.
“Bagi pesara pula, mereka boleh menikmati diskaun daripada rakan niaga yang mengambil bahagian dan kemudahan perubatan di klinik atau hospital kerajaan.
“KBT pula membolehkan pemegangnya dan tanggungannya layak menerima kemudahan rawatan percuma di klinik dan hospital kerajaan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, 2,316 syarikat swasta bersetuju menjadi rakan dagang dalam 1MDC untuk memberikan potongan harga, diskaun perkhidmatan dan barangan kepada pemegang kad berkenaan.
“Pemegang kad boleh menikmati faedah potongan harga antara 10 hingga 40 peratus barangan dan perkhidmatan terpilih seluruh Malaysia tertakluk kepada syarat dan terma diberikan rakan dagang.
“Antara segmen perniagaan berkenaan ialah alat tulis, buku, pakaian, makanan, minuman, pengangkutan, penginapan, optometri, automotif dan peruncitan.
“Pemegang kad boleh mengenal pasti rakan dagang melalui pelekat 1MDC yang ditampal di premis masing-masing,” katanya.
Alias berkata, selain meringankan beban kos sara hidup pengguna, 1MDC turut memberi manfaat kepada rakan dagang.
“Dengan bilangan pemegang kad hampir 3.5 juta di seluruh negara, pasaran syarikat swasta berkenaan lebih meluas dan akan mendatangkan pulangan baik kepada mereka.
“Syarikat yang mengambil bahagian juga akan mendapat promosi meluas di mana logo syarikat akan dimuat naik alam laman web www.1pengguna.com KPDNKK yang turut dikongsi pautan dari laman sesawang agensi berkaitan.
“Mereka juga berpeluang menyertai program kementerian terpilih melalui penyediaan gerai pameran dan jualan secara percuma,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu membawa suatu perubahan yang memberikan impak ekonomi kepada semua pihak yang terbabit sekali gus meletakkan 1MDC sebagai projek percuma tanpa sebarang kos (zero cost) untuk kerajaan.
“Penyertaan rakan dagang secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam program ini dilihat sebagai zero cost kepada kerajaan kerana tanggungan dipindahkan kepada syarikat swasta.
“Sistem ‘flash card’ tanpa penggunaan sistem cip dan ‘programming’ juga dapat menjimatkan wang kerajaan,” katanya.
Menurutnya, KPDNKK giat meneruskan promosi dengan mensasarkan peningkatan jumlah pemegang kad kepada 3.6 juta sehingga akhir tahun ini.
“Kami alu-alukan pengguna berusia 17 tahun ke atas mendaftar menjadi pemegang kad 1MDC sama ada di ibu pejabat mahupun cawangan KPDNKK berdekatan atau pilihan lain dengan melayari laman web KPDNKK,” katanya.

Kredit : HMetro


3 ulasan:

Normi Nieza berkata...

untuk kita xde diskaun ke?

oshin berkata...

rasanya boleh mohon kak....try masuk website KPDNKK..

Nurzakiah Hanum berkata...

nak2